PIHAK berkuasa Perancis mengesahkan Isnin lalu seorang guru yang mendakwa ditikam dengan gunting dan pemotong kotak di sebuah prasekolah berhampiran Paris sebenarnya menipu, lapor The New York Times.

Pegawai polis di Aubervilliers menyatakan guru tersebut, yang enggan dikenal pasti, mengaku mereka-reka cerita diserang penyokong Daish (ISIS) di prasekolah Jean Perrin di Aubervilliers, pinggir utara Paris.

Menurut pegawai itu lagi, guru tersebut sebenarnya memalsukan serangan tersebut agar dia boleh ditukarkan ke sekolah lain.

Jurucakap pejabat pendakwaraya Paris, Agnès Thibault-Lecuivre berkata, “Dia melukakan dirinya sendiri ketika sendirian di dalam bilik darjah, sebelum para pelajar tiba.”

Kes ini merupakan yang pertama seumpamanya di Paris, tambah Agnès. Kata beliau lagi, guru prasekolah yang berusia 45 tahun itu kini di hospital kerana kecederaan yang dialami, dan masih disoal siasat.

Guru tersebut menceritakan kononnya penyerang tersebut mengatakan, “Ini Daesh, ini satu amaran.” Daish merupakan akronim bahasa Arab bagi ISIS.

Guru tersebut juga mendakwa dia sempat melihat penyerang tersebut yang bertopeng muka balaclava serta bersarung tangan sebelum penyerang itu melarikan diri.

Pihak berkuasa mengambil serius dakwaan tersebut dan memulakan pencarian terhadap penyerang sambil pejabat pendakwaraya Paris sudah pun memulakan penyiasatan awal bagi tuduhan cubaan membunuh.

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh guru tersebut, para wartawan diberitahu bahawa penyerang memasuki kawasan prasekolah sekitar jam 7:10 pagi dan telah menyerang guru tersebut dengan pemotong kotak dan gunting yang ditemukan di premis sekolah. Guru itu juga mendakwa tidak ada pelajar mahupun staf yang hadir sebagai saksi ketika itu.

Najat Vallaud-Belkacem, menteri pendidikan Perancis berkata pihak berkuasa telah menutup prasekolah sebagai respon terhadap berita serangan tersebut namun bakal dibuka semula Selasa ini. Beliau turut menyatakan kawalan keselamatan di semua sekolah akan diperketat.

Perancis telah berada dalam situasi darurat sejak serangan terancang ke atas Paris bulan lalu telah mengorbankan 130 nyawa manakala 350 lagi cedera. Pihak Daish telah mengaku bertanggungjawab ke atas serangan yang melibatkan beberapa pasukan penembak dan pengebom berani mati.